YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin, Perdana Menteri telah membuat pengumuman berhubung penangguhan bayaran balik pinjaman dan bantuan bersasar. Ini adalah antara langkah yang diambil Kerajaan di bawah pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN, bertujuan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.
Selaras pengumuman tersebut, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam PTPTN untuk tempoh (3) bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020. Penangguhan ini melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta. Ini bermakna jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion. Semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini. Sekiranya, terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.
Keputusan ini dibuat kerana Kerajaan menyedari bahawa masih terdapat peminjam PTPTN yang menghadapi keadaan yang sukar kerana kehilangan pekerjaan serta punca pendapatan. Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh peminjam PTPTN serta mengambil berat terhadap kebajikan mereka. Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN. Semoga wabak Covid-19 ini akan berakhir dan kita semua dihindari daripada jangkitan virus tersebut.
Source from: https://www.ptptn.gov.my/makluman-bayaran-balik-side/pelanjutan-tempoh-penangguhan-bayaran-balik-pinjaman-ptptn