KELAYAKAN
(AKTA 4 & AKTA 800)
Q: Apakah kategori pekerja domestik?
Pekerja domestik terbahagi kepada 2 kategori iaitu:
- Pekerja domestik dengan status:
- warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad;
- bukan warganegara Malaysia, penduduk tetap, mempunyai MyPR;
- bukan warganegara Malaysia, penduduk sementara, mempunyai MyKAS
- Pekerja domestik asing iaitu:
Pekerja bukan warganegara Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk bekerja di Malaysia.
Q: Bolehkah isteri/suami/anak/ibubapa/saudara-mara yang diambil sebagai pekerja domestik didaftar dan dicarum dengan PERKESO?
Perlindungan ini TIDAK terpakai kepada pekerja domestik yang merupakan saudara terdekat kepada majikan seperti berikut:
(i) suami atau isteri;
(ii) anak termasuk angkat atau tiri;
(iii) ibu bapa, adik-beradik dan datuk/nenek termasuk angkat atau tiri;
(iv) ibu bapa mertua atau menantu termasuk angkat atau tiri; dan
(v)adik beradik ipar.
Q: Siapa yang layak mencarum untuk pekerja domestik?
Akta 4 (Socso)
- Majikan seseorang pekerja domestik, mestilah merupakan seorang individu warganegara Malaysia dan bukan untuk mana-mana perniagaan
- Majikan warganegara asing dan menggaji pekerja domestik warganegara Malaysia.
Akta 800 (EIS)
Individu, warganegara atau tidak, menggaji pekerja domestik warganegara Malaysia, Pemastautin Tetap (PR) dan Pemastautin Sementara (TR)
Q: Bolehkah pekerja domestik asing mendapat liputan di bawah Akta 4 (Socso)?
Layak !
Pekerja domestik asing mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di Malaysia
Tidak Layak:-
Pekerja domestik asing yang digaji oleh majikan warganegara asing
Pekerja domestik asing yang tidak mempunyai pas atau permit yang sah atau bagi tempoh pas atau permit yang mempunyai pengesahan dalam proses pemutihan atau rekalibrasi yang dikuatkuasakan secara retrospektif.
Q: Bolehkah pekerja domestik asing mendapat liputan di bawah Akta 800 (EIS)?
Pekerja domestik asing iaitu seseorang pekerja bukan warganegara Malaysia, PR dan TR adalah TIDAK diliputi.
Q: Apakah had umur pekerja domestik yang layak diliputi di bawah Akta 800 (EIS)?
Pekerja domestik berumur dari 18 hingga 60 tahun KECUALI bagi pekerja yang berumur 57 tahun dan ke atas yang tidak pernah mencarum di bawah Akta 800.
Q: Apakah status pendaftaran seseorang pekerja domestik sekiranya mereka bekerja bagi sesebuah kediaman dan pada masa yang sama turut bekerja bagi perusahaan yang lain?
- Pekerja domestik tersebut hendaklah didaftarkan dan mencarum untuk kedua-dua pekerjaan.
- Terpakai kepada pekerja domestik warganegara Malaysia, PR serta TR sahaja
- tidak terpakai kepada pekerja domestik asing